KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan isu jenayah dalam skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya berada sepenuhnya di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau sudah menghubungi Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution susulan pendedahan dokumen penuh FIFA setebal 64 muka surat yang mencadangkan siasatan jenayah dilakukan segera.

“Untuk aspek jenayah, itu bidang kuasa KDN dan kita serah terus kepada mereka,” katanya pada majlis pengumuman penajaan kontinjen ke Sukan SEA 2025.

Katanya, beliau masih menunggu jawapan kerana baru menghubungi Saifuddin dan mahu beri ruang kepada KDN meneliti kes yang semakin panas itu.

Hannah menegaskan semua penjelasan akan dibuat dalam penggulungan Belanjawan KBS 2026 di Parlimen esok.

Beliau berkata Parlimen adalah medan terbaik merungkai kekusutan tanpa mendahului proses siasatan.