SKUAD Harimau Malaya B-17 berada dalam keadaan siap siaga menjelang aksi separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 menentang Laos B-17.
Ketua jurulatih negara, Muhammad Shukor Adan menegaskan pemainnya sudah bersedia dari segi mental dan psikologi untuk menghadapi cabaran getir itu.
“Kami dah bersedia untuk bertemu dengan Laos. Kita tahu mereka pasukan yang kuat sebab menjuarai kumpulan yang sukar dan baru-baru ini menewaskan Thailand,” katanya.
Menurut Shukor, barisan kejurulatihan telah melakukan analisis terperinci terhadap corak permainan Laos bagi mengenal pasti kekuatan serta kelemahan lawan.
“Kami telah analisis setiap permainan Laos dan serba sedikit tahu kekuatan serta kelemahan mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perlawanan separuh akhir sentiasa terbuka dan sebarang keputusan boleh berlaku.
“Dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku. Sasaran awal kami adalah ke separuh akhir dan kami berjaya capai. Jika boleh, kami mahu ke final,” katanya.
Dalam tempoh dua hari sebelum perlawanan, pasukan memberi tumpuan kepada proses pemulihan selepas mengharungi jadual padat.
“Kita banyakkan proses ‘recovery’ selepas tiga perlawanan dalam tempoh singkat. Fokus utama sekarang adalah memastikan pemain benar-benar bersedia,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan, Adam Muqri Muhaizam menegaskan pemain berada dalam keadaan terbaik untuk aksi penting itu.
“Alhamdulillah kami capai sasaran ke separuh akhir. Untuk esok, kami dah bersedia dari segi mental dan fizikal dan akan buat sehabis baik untuk layak ke final,” katanya.
Aksi separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 diantara Malaysia B-17 menentang Laos B-17 akan berlangsung esok jam 4.30 petang waktu Malaysia.