PERTAHANAN Manchester United, Harry Maguire masih mendapat kepercayaan jurulatih dari Belanda, Erik ten Hag untuk berada dalam kesebelasan utama skuad tersebut.

Biarpun dikecam hebat kelompok besar penyokong Red Devils ketika melihat aksi terkini menentang Jerman dalam saingan Liga Negara-Negara tempoh hari, Ten Hag mengakui Maguire memiliki potensi besar untuk menyinar.

Kesilapan paling ketara Maguire dikesan berlaku pada perlawanan menentang Jerman apabila membiarkan pihak lawan berjaya menembusi benteng pertahanan dengan mudah lalu menghadiahkan dua gol buat Jerman di saingan Liga Negara-Negara pada Isnin.

“Saya menyebelahi dia kerana saya percaya kepadanya. Selepas bekerja sekali bersamanya, dia benar-benar menghargai apa yang saya lakukan untuknya.

“Saya boleh lihat kualiti yang ada padanya. Dia berlatih dan bermain dengan sangat baik. Tetapi yang paling penting adalah kualiti yang dia ada.

“Lihat saja, kariernya 50 caps untuk England. Apa yang anda lihat adalah potensi besar. Ia terpulang kepadanya. Di bilik persalinan, semua barisan kejurulatihan percaya kepada keupayaan Maguire. Itulah apa yang saya sampaikan kepadanya,” ujar Ten Hag.

Pemain berusia 29 tahun itu dijangka bakal terlepas aksi menentang Manchester City di Etihad Ahad ini ekoran dibelenggu masalah kecederaan.