PENOLONG Ketua Jurulatih Bolasepak Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah-14 Tahun, Mohd Fauzi Nan akui persiapan pasukan tetap berada pada tahap terbaik meskipun hanya sempat menjalani empat hari sesi latihan sebelum Kejohanan Piala Supermokh 2022 bermula.
“Persiapan pasukan berjalan dengan rapi. Kita hanya dapat berkumpul empat ari sebelum kejohanan bermula.
“Walaupun kami kekurangan latihan dan mempunyai masa yang agak singkat, namun kita tidak menganggap ia sebagai alasan,” ujarnya ketika ditemui wartawan FLASH SUKAN di Swisbel Hotel, Kuantan.
Jelasnya, dia tidak terlalu meletakkan sasaran untuk menjadi juara sebaliknya hanya fokus menghadapi satu perlawanan demi satu perlawanan terlebih dahulu.
“Sasaran tentunya, dari sudut hati yang mendalam, kita ingin lakukan yang terbaik. Kita akan hadap satu perlawanan demi satu perlawanan dahulu,” jelasnya.
Mengulas tentang impak penyertaan pasukannya dalam Kejohanan Piala Supermokh 2022, bekas pemain pertahanan Kedah itu sedar ianya merupakan medium terbaik buat warga belia mengembangkan bakat mereka untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
“Ini satu platform yang terbaik dengan tertubuhnya Akademi Mokhtar Dahari ini, pemain-pemain dapat mengembangkan lagi karier mereka ke tempat yang lebih tinggi,” kongsinya.
Kejohanan Piala Supermokh 2022 bakal dilangsungkan di Akademi Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, bermula 23 hingga 30 Oktober ini melibatkan Kategori Bawah 12, 13 dan 14 Tahun.