BAGI ramai peserta Heritage Run 2025, setiap langkah di jalan bersejarah George Town bukan sekadar mengejar masa, tetapi mengenang warisan yang membentuk jiwa Pulau Pinang.
Di kelilingi bangunan kolonial, deretan kedai lama dan aroma kopi klasik, larian anjuran Alliance Bank Malaysia Berhad itu menjadi pengalaman peribadi yang menggabungkan kecergasan, komuniti dan nostalgia.

Peserta berusia 62 tahun, Lim Poh Seng, yang menyertai kategori 7 kilometer, berkata dia terharu melihat generasi muda turut menghargai keindahan warisan yang selama ini menjadi kebanggaan rakyat tempatan.
“Bila tengok anak-anak muda berlari sambil ambil gambar mural dan bangunan lama, saya rasa macam warisan ini hidup semula,” katanya sambil tersenyum selepas menamatkan larian.


Selain mencipta rekod 5,500 penyertaan, penganjuran kali ketiga itu turut menghubungkan masyarakat melalui bazar #SupportLokal yang mengetengahkan usahawan tempatan dan produk kitar semula.
Pelari 21 kilometer, Ong Ee Ling yang menjuarai kategori wanita, mengakui pengalaman berlari di tengah suasana warisan memberi tenaga luar biasa kerana setiap pemandangan membawa cerita tersendiri.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, kejayaan acara itu membuktikan bahawa kecergasan dan warisan boleh berjalan seiring dalam membina komuniti yang sihat dan berbudaya.
Dengan medal buluh, baju kitar semula dan beg kanvas mesra alam, Heritage Run 2025 bukan sekadar perlumbaan, tetapi satu perjalanan hati yang menghubungkan manusia, warisan dan masa depan.