SKUAD baharu Speedy Tigers jelmaan ketua jurulatih Sarjit Singh, memerlukan sekurang-kurangnya 40 perlawanan antarabangsa, jika mahu mempertahan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah yang akan bermula 4 hingga 11 Mei depan.
Justeru, dalam tempoh singkat yang ada menerusi panggilan pemain yang hanya akan memulakan latihan pada Selasa depan (19 Mac), amat sukar untuk melihat kejayaan yang sama diraih skuad hoki kebangsaan.
“Kita membentuk pasukan untuk program jangka panjang dan kebanyakan pemain muda dalam pasukan ini memerluka 30-40 perlawanan untuk bersedia,” kata Sarjit, dalam sidang media pengumuman sesi latiahn dan pemilihan pemain kebangsaan lelaki di pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di Bukit Jalil.

Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, Sarjit Singh bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (Timbalan Presiden KHM), pada majlis pengumuman senarai pemain yang dipanggil untuk pemilihan skuad kebangsaan.
Menurutnya, senarai 46 pemain yang dipanggil itu dipersiapkan untuk Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.
“Jadi kita memberi peluang kepada pemain yang cemerlang dalam Liga Hoki Malaysia (LHM), kita berharap mereka (pemain) membuktikan mereka layak berada dalm 30 terbaik,” ujar Sarjit lagi.
Menurutnya, semua 46 pemain yang dipanggil hendaklah melapor diri pada sesi latihan pertama 19 Mac, yang akan berlangsung selepas berbuka puasa, 9.30 malam.
Beliau berkata, selama pemilihan pemain akan berlangsung selama lapan hari bermula 19, 20, 22, 23, 26, 27, 29 dan 30 Mac sebelum dikecilkan kepada 30 pemain.

Skuad hoki lelaki kebangsaan terlepas slot ke Olimpik Paris dan tiba masanya penjenamaan semula pasukan.
“Kita juga akan mengadakan perlawanan dalam sesi itu. Kita akan pecahkan pemain yang dipanggil kepada tiga pasukan dan setiap pasukan akan bermain dalam 8 perlawanan.
“Kita mempunyai 480 minit permainan dan setiap pemain akan memperoleh minimum 320 minit permainan. Inilah peluang dan masa untnuk pemain menunjukkan kemahiran dan mereka layak berada dalam pasukan,” kata Sarjit.
Dalam senarai 46 pemain terbabit, empat pemain senior berusia lebih 30 tahun tetap dipanggil Sarjit, seperti penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman, 32; Marhan Jalil, 34; Faizal Saari, 33; dan Fitri Saari, 31.
“Kita mahu membina pasukan yang berkisar kepada empat pemain ini, mereka pemain yang luar biasa.
“Saya tak cakap pemain lain tidak bagus, mereka masih boleh membantu pasukan jika perlu dan jika masih mampu membuktikan stamina seperti Marhan, tidak mustahil,” kata Sarjit.

Hanya 6 pemain berusia 29 tahun ke atas di panggil pada pemilihan pemain kebangsaan 2024.
Dalam senarai 46 pemain yang dipanggil terbabit, seramai 14 pemain terdiri daripada pemain bawah 21 tahun (B-21), 18 pemain berusia 22 hingga 25 tahun, lapan pemain berusia 26 hingga 28 tahun dan enam pemain berusia 29 tahun ke atas.
Speedy Tigers akan memulakan cabaran antarabangsa di Piala Sultan Azlan Shah (Mei) di Ipoh, Perak, sebelum menyertai Piala Negara-Negara FIH di Poland, pada 31 Mei hingga 9 Jun.
Pada kempen Piala Sultan Azlan Shah nanti, skuad negara akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.
Manakala sebanyak sembilan pasukan akan bersaing di Poland termasuk tuan rumah, Austria, Kanada, Perancis, New Zealand, Pakistan, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Malaysia.