KEJOHANAN Liga Hoki Remaja Malaysia 2022 akan memulakan saingan bermula 13 Julai hingga 28 Ogos 2022 dengan menampilkan 44 pasukan yang terdiri daripada 29 pasukan lelaki dan 15 pasukan perempuan bagi merebut kejuaraan musim ini.

Format pertandingan juga diubah dengan perlawanan akan diadakan secara timbal balik di laman masing-masing berbanding hanya menjadikan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai venue berpusat.

Sembilan pasukan akan mengambil bahagian dalam Kategori Lelaki Divisyen Satu, manakala 20 pasukan akan bersaing di saingan Divisyen Dua yang dibahagikan pula kepada Divisyen Dua A dan Divisyen Dua B.

Sebanyak 15 pasukan pula akan bersaing dalam Kategori Perempuan dan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan lapan pasukan dalam Kumpulan A manakalah tujuh lagi akan bersaing dalam Kumpulan B.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat KHM pada Rabu.

“Untuk pertama kalinya, KHM menerima penyertaan daripada 44 pasukan dan ini juga mungkin didorong oleh faktor penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 selain Malaysia merupakan tuan rumah kepada Hoki Piala Dunia Remaja 2023.

“Ini merupakan satu petanda yang cukup baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian pada kejohanan kali ini.

“Hoki Malaysia hari ini telah sampai di satu tahap yang cukup memberangsangkan dan saya berharap lebih ramai pemain muda akan tampil kehadapan, pasukan-pasukan akan menghantar penyertaan pada masa akan datang agar Malaysia dapat memiliki lebih ramai pemain muda beraksi bersama pasukan Malaysia.

“KHM akan terus mencungkil bakat-bakat baru dan juga telah memberikan tugas kepada jurulatih pasukan kebangsaan untuk memantau kejohanan kali ini dan saya menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan untuk menilai pemain-pemain muda yang boleh diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan,” jelas beliau.

Sebagai rekod, SSTMI Thunderbolts muncul juara Liga Hoki Remaja Malaysia 2021 selepas menewaskan BJSS Thunderbolts 3-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.