BEKAS pemain tengah kebangsaan Australia, Jay Jason Stacy gembira kembali menjejak kaki ke Stadium 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, ketika membawa skuad remaja kebangsaan negaranya menentang Malaysia pada perlawanan persahabatan menjelang saingan Piala Sultan Johor (SOJC).

Mungkin ramai yang pelik apabila ketua jurulatih Kookaburras itu meminta untuk melakukan aksi pemanas badan di Bukit Jalil dan bukannya di Stadium Hoki Taman Daya yang akan menjadi venue SOJC, namun Jay Stacy ada alasan tersendiri.

“Separuh daripada pemain yang saya bawa ini, akan beraksi di Piala Dunia Remaja 2023, yang akan berlangsung di sini, Disember tahun hadapan.

“Matlamat utama kami adalah Piala Dunia Remaja dan saya mahu pemain mengalami sendiri suasana stadium, suhu, kepanasan dan kondisi padang yang cantik ini.

“Saya lihat mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik selepas kami melakukan ‘double session’ di sini semalam (kelmarin),” kata menjadi pemain kebangsaan Australia sejak 1988.

Jay Stacey pernah beraksi bersama Australia ketika menewaskan Malaysia di final Sukan Komanwel yang berlangsung di Padang 1, Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil

Pada aksi Selasa, Kookaburras nampaknya serasi dengan Padang 1 Stadium Hoki Nasional, apabila mencatat keputusan memberangsangkan menang 4-1 ke atas skuad negara bimbingan Muhammad Amin Rahim.

Katanya, meskipun mengadakan perlawanan persahabatan dengan Malaysia untuk mencuba gelanggang tuan rumah Piala Dunia Remaja 2023, beliau berkata sasaran skuad bimbignannya di Johor tetap tinggi iaitu mahu muncul juara.

Meskipun Kookaburras memiliki reputasi besarsebagai pasukan paling digeruni dunia, namun skuad remaja mereka hanya sekali mnuncul juara Hoki Piala Dunia Remaja iaitu pada edisi 1997 di Milton Keynes, England.

Sementara itu, ketika bertemu wartawan semalam, Jay Stacy tersenyum riang, bukan kerana kemenangan skuad bimbingannya ke atas Malaysia namun teringat zaman kegemilangannya.

“Malah saya ada kenangan manis di sini. Ketika saya berada dalam skuad Kookaburras, kami pernah kalahkan Malaysia pada final Sukan Komanwel 1998 di sini,” katanya, berbangga dan gembira kembali ke Kuala Lumpur.