PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menghantar bantahan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) susulan tiga keputusan kontroversi ketika perlawanan pusingan kedua beregu lelaki antara Aaron Tai-Kang Khai Xing dan gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di kejohanan Perodua Malaysia Masters 2025.

 

Detik-detik genting dalam perlawanan itu menyaksikan tiga keputusan pengadil yang dianggap bukan sahaja menjejaskan momentum permainan, malah merampas hak anak jati Malaysia untuk beraksi dalam suasana yang adil dan seimbang.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dalam satu kenyataan menegaskan bahawa walaupun menghormati peranan pengadil, kesilapan ketara yang berlaku seharusnya menjadi siren kecemasan buat BWF, untuk segera menyemak tahap profesionalisme dan ketelusan pengadilan di pentas dunia.

“Kami percaya keputusan yang dibuat bukan sekadar kesilapan mata biasa, tetapi cukup untuk menafikan peluang kemenangan kepada pemain kami dan merosakkan kredibiliti sukan badminton itu sendiri,” katanya, yang mengesahkan turut menyerahkan bukti video dan dokumentasi penuh kepada BWF untuk tindakan segera.

Pada saingan suku akhir itu, Aaron-Khai Xing ketinggalan 12-14 dan Kjaer melakulan pukulan drive yang keluar gelanggang, namun umpire perlawanan “over rule” keputusan penjaga garisan yang menunjukkan isyarat keluar, dengan mendakwa bulu tangkis terkena telinga Aaron.

Aaron Ta-Kang Khai Xing tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap keputusan umpire perlawanan, ketika bertemu media. FOTO | BAM

BAM tidak berdolak-dalik dalam misi mempertahankan nilai kesukanan, malah menggesa BWF bertindak pantas, telus dan tanpa kompromi demi memastikan insiden sebegini tidak berulang dan terus mencemar semangat juang pemain di gelanggang.