SEKARANG ini di media sosial, ada segelintir yang sudah hilang pertimbangan dan ini adalah satu trend yang amat membimbangkan.

Itu reaksi tegas Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, yang mengecam tindakan segelintir pengguna media sosial menyerang pemain badminton negara dengan komen melampau dan ugutan keterlaluan.

“Kita tak boleh biarkan perkara ini begitu saja, sebab itu BAM keluarkan kenyataan keras sebagai peringatan dan amaran kepada mereka yang suka mengugut pemain,” katanya.

Beliau menegaskan BAM sentiasa memberi sokongan penuh kepada pemain, dan tindakan mengecam atau mengugut atlet di platform terbuka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kita bukan bercakap tentang komen membina, tapi ada komen sampai tahap ugutan nak bunuh orang, macam ‘saya tunggu di KLIA’, itu dah keterlaluan,” katanya dengan nada kesal.

Kenny berkata, semua pihak perlu memahami peranan masing-masing sebagai penyokong, dan bukan menghukum pemain apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Mungkin betullah, media sosial membuatkan segelintir tidak berfikir dengan rasional, sampai lupa sempadan bila bercakap,” katanya sinis.

Beliau menambah BAM akan terus memantau isu tersebut dan mengikuti nasihat serta prosedur di bawah Akta Sukan Selamat (Safe Sport) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pemain terus terpelihara.