KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menyifatkan impak segera yang ditampilkan Paulo Josue dalam perlawanan menentang Cape Verde sebagai bukti keyakinan dan kualiti tinggi yang dimiliki oleh pemain naturalisasi itu.
Josue, yang hanya mengambil masa seminit selepas dimasukkan untuk meledak gol penyamaan Malaysia, bukan sahaja menghidupkan semula harapan penyokong, malah membuktikan peranannya dalam skuad tidak boleh dipandang ringan.
“Saya rasa dia sendiri tahu apa yang dia boleh bawa. Dalam sidang media semalam, dia ada cakap tentang peranan barunya – kurang sentuhan, tapi lebih banyak gol. Malam ini, dia buktikan itu,” ujar Clamovski dalam nada puas hati selepas keputusan seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Paulo Josue hanya mengambil masa seminit selepas dimasukkan untuk meledak gol penyamaan Malaysia. FOTO:FAM
Jurulatih dari Australia itu turut menyifatkan Kuala Lumpur sebagai ‘tanah keramat’ buat Josue dan percaya pemain itu turun ke padang dengan keyakinan penuh untuk mencipta perbezaan.
“Ini padangnya sendiri, dan dia buat impak besar. Tapi bukan hanya ‘Mr Kuala Lumpur’ sahaja. Semua pemain gantian malam ini beri sumbangan penting dan tonjolkan semangat berpasukan yang kuat,” tambah Clamovski.
Beliau memuji mentaliti yang diterapkan dalam kem latihan Harimau Malaya, yang menurutnya telah menyaksikan setiap pemain – sama ada dalam kesebelasan utama mahupun bangku simpanan – tampil dengan kesungguhan dan disiplin tinggi.

Paulo Josue hanya mengambil masa seminit selepas dimasukkan untuk meledak gol penyamaan Malaysia. FOTO:FAM
“Ini cerminan latihan kami setiap hari. Semua pemain ambil tanggungjawab dan malam ini mereka tampil dengan aksi yang boleh dibanggakan.”
Malaysia bakal meneruskan persiapan mereka menjelang aksi persahabatan menentang Cape verde pada 3 Jun sebelum aksi getir menentang Vietnam 10 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.
TAMAT