SKUAD wanita Malaysia Bawah 19 (B-19) memulakan kempen Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 dengan penuh bergaya apabila membenam Kemboja 4-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Ho Chi Minh City.
Anak buah Cameron Ng tampil dengan semangat tinggi untuk menebus kegagalan edisi lalu, dan segalanya bermula seawal minit ke-13 apabila Ku Nuwairah Ku Mahadzir meledak gol pertama perlawanan menerusi rembatan padu menewaskan penjaga gol Kemboja, Srong Nas.
Kaseh Carlmila Az Zahra nyaris menambah jaringan tetapi percubaannya sekadar menggegar tiang. Namun beliau segera menebus kekecewaan itu pada minit ke-38, menghasilkan gol kedua Malaysia sebelum rehat separuh masa.
Selepas bersambung, skuad negara terus agresif dan sekali lagi Ku Nuwairah menyinar apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-55, menjadikan kedudukan 3-0. Kaseh kemudian melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya muda dengan gol keempat pada minit ke-70 hasil larian solo menewaskan pertahanan lawan.
Malaysia kini berada di tangga kedua kumpulan di belakang Thailand yang membelasah Indonesia 6-0. Perlawanan seterusnya dijangka sengit apabila Malayan Tigress B-19 menentang Thailand pada 11 Jun bagi merebut kedudukan teratas.