PASUKAN Vietnam tidak menyembunyikan betapa getirnya cabaran menanti mereka apabila turun menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, dalam pertembungan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.
Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik mengakui perlawanan ini bakal menjadi momen paling mencabar buat skuad Golden Star Warriors dalam misi mereka untuk mara ke pusingan akhir di Arab Saudi.
“Ini perlawanan di tempat lawan, tetapi saya anggap ia adalah perlawanan paling penting dan paling sukar untuk kami mara ke Piala Asia 2027,” katanya penuh serius dalam sidang media pra perlawanan pada Isnin.
“Namun kami datang ke sini untuk menang dan kami akan berikan segala yang termampu. Sekiranya kami bermain dengan baik dan sebagai satu unit, kami percaya kami boleh dapat mata di sini.”

ketua pasukan vietnam, Do Duy Manh (KANAN) bersama Ketua Jurulatih Vietnam Kim Sang Sik dalam sidang media pra perlawanan menjelang aksi kedua Kumpulan F kelayakkan piala Asia 2027 Saudi menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit jalil 9 Malam esok.
Nada sama turut disuarakan kapten pasukan, Do Duy Manh yang menyifatkan tekanan bermain di gelanggang lawan tidak menghalang Vietnam untuk hadir dengan keyakinan tinggi.
“Memang perlawanan esok akan jadi sangat sukar, tetapi kami sudah bersedia. Kami ada strategi yang betul dan perancangan yang baik. Saya dan rakan-rakan akan ikut arahan jurulatih sebaik mungkin,” ujarnya.
Vietnam tiba di Kuala Lumpur berbekalkan kemenangan selesa 5-0 ke atas Laos dalam aksi pembukaan, manakala Malaysia juga memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim. Kedua-dua pasukan kini bersaing rapat untuk menerajui Kumpulan F dan perlawanan esok dijangka menjadi titik tolak penting dalam menentukan hala tuju pasukan mana yang akan ke Piala Asia.
FOTO : FAM