KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan barisan pemainnya bagi musim 2025/2026 apabila secara rasmi memperkenalkan Ibrahim Manusi sebagai rekrut ketiga kelab berkenaan. Kehadiran pemain tengah muda berbakat ini diumumkan menerusi video khas di laman media sosial rasmi JDT yang disambut dengan mesej simbolik: “Hanya ada satu tempat untuk membawa bola sepak ke tahap lebih tinggi.”
Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Baim menjadi antara nama yang mencuri tumpuan musim lalu selepas memainkan peranan penting dalam kemaraan Sri Pahang ke pentas akhir Piala Malaysia. Walaupun tewas di tangan JDT, aksi cemerlang Baim di bahagian tengah berjaya mencuri hati pemerhati bola tempatan, malah menjadi buah mulut peminat bola sepak tanah air.
Sepanjang musim 2024/2025, Baim telah mencatat 25 penampilan bersama skuad Tok Gajah dalam semua kejohanan sebelum kelab itu mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan — sekali gus membuka jalan kepada penghijrahan pemain kelahiran Pahang itu ke skuad juara bertahan Liga Super.
Dengan penyertaan Baim, JDT kini telah membawa masuk tiga pemain baharu bagi musim akan datang termasuk dua pemain import, Antonio Glauder dan Jairo Da Silva, menunjukkan betapa seriusnya mereka dalam mengekalkan dominasi di persada bola sepak tempatan dan rantau ini.
Kehadiran Baim dijangka menambah variasi taktikal buat Xisco Munoz dan memberikan lebih banyak pilihan kreatif di jentera tengah, apatah lagi dengan kemampuan teknikal serta ketenangan beliau ketika mengemudi permainan.
Langkah ini bukan sahaja memperkuat skuad Harimau Selatan, malah memberi bayangan awal bahawa musim baharu nanti bakal menyaksikan wajah JDT yang lebih segar, dinamik dan sukar digugat.