ARKITEK tengah Terengganu FC (TFC), Habib Haroon berharap Terengganu FC mampu merangkul kejuaraan Piala Malaysia tahun ini.

Hasrat itu disuarakan setelah mengimbau pahit getir perjalanannya ketika kecil apabila terpaksa menjual air di jalanan hanya untuk meneruskan kehidupan.

Andai Piala Malaysia benar-benar menjadi milik Terengganu FC, ia akan menjadi hadiah paling bermakna buat diri dan keluarganya yang terpaksa menempuh jalan berliku hanya untuk meneruskan sisa kehidupan sebelum ini.

“Jika saya menang Piala Malaysia kali ini, ia adalah sesuatu hadiah bagi memadamkan kedukaan hidup saya pada masa silam.

“Sekiranya berjaya mendakap Piala Malaysia, saya tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan saya setelah mengharungi masa kecil tidak seperti anak lain.

“Saya datang dari keluarga yang susah. Saya datang dari tempat yang kita tidak punyai apa-apa. Anda tahu bagaimana kehidupan sangat mencabar di Afrika.

“Saya telah menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan ini. Semasa saya kecil, saya terpaksa tinggalkan ibu saya. Saya tidak dapat tinggal bersama keluarga saya.

“Saya tinggalkan sekolah setelah kehilangan ayah saya. Keadaan menjadi lebih sukar buat saya dan ibu saya selepas kehilangan ayah saya.

“Saya terpaksa pergi ke bandar seorang diri dan cuba untuk hidup berdikari kerana kami tujuh orang adik beradik dan saya tidak sanggup menyusahkan ibu saya.

“Saya sangat rapat dengan nenek saya. Tiada siapa yang dapat membiayai yuran persekolahan saya. Saya hanya cuba bekerja di jalanan, dengan menjual air hanya untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Kalau saya imbau kembali, saya tidak sangka saya mampu berada di sini. Tetapi ia adalah kerana kepercayaan dan keizinan dari Allah menyebabkan saya masih bernafas sehingga hari ini,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, bakatnya berjaya dihidu seorang jurulatih sewaktu dia bermain hanya untuk mengisi masa lapang ketika berada di jalanan.

Bakatnya diteruskan apabila dipanggil menyertai liga di Nigeria. Kredibiliti Habib terus memikat lensa kelab di Bahrain, Al-Riffa pada 2018 sekaligus melonjakkannya sebagai pemain professional.

“Saya sangat suka bermain bola di jalanan. Saya terpaksa beli kasut sendiri hanya untuk bermain bola sepak. Ada seorang pemuda melihat saya setiap hari. Dia bertanyakan saya dimanakah anda bermain. Saya menjawab saya bermain suka-suka sahaja. Kemudian, dia kagum dengan corak permainan saya dan menawarkan saya untuk bermain di Liga Nigeria.

“Apabila saya bersama pasukan tersebut, ia sebuah cabaran yang sangat hebat kerana tiada siapa yang mengenali saya pada ketika itu. Saya adalah pemain termuda pada ketika itu.

“Setelah tiga musim bersama kelab tersebut, saya ditawarkan bersama kelab Bahrain dan di situlah saya semakin menemui tempo permainan sebenar saya,” katanya.

Jodohnya bersama Terengganu muncul pada penghujung tahun 2021 apabila seorang ejen menawarkan kepadanya untuk bermain bersama kelab Malaysia, Terengganu FC.

Tiada siapa menyangka, ia adalah detik yang mengubah kehidupan Habib secara total, apabila dia merupakan antara ayam tambatan yang sudah pasti akan diturunkan dalam kesebelasan utama dalam setiap aksi bersama pasukan.

Namanya mula disebut peminat dan perjalanan kariernya bersama pasukan dari pantai timur tanah air semakin mekar apabila pasukan tersebut turut cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.

“Kemudian terdapat seorang ejen melihat kemampuan saya dan menawarkan untuk bermain di Terengganu. Saya bersetuju dengan tawaran tersebut dan di Terengganu lah nama saya mula meniti di bibir peminat bola sepak.

“Sekarang ini semua berjalan dengan baik buat saya, dengan pemain, jurulatih, pengurusan, serta penyokong Kisah hidup saya ini boleh dijadikan sebuah filem,” tambahnya.