DATUK Lee Chong Wei mengakui terkejut apabila skuad perseorangan lelaki negara kini hanya tinggal empat pemain aktif, sekali gus menceritakan betapa kritikalnya situasi di kem badminton kebangsaan.
Legenda badminton negara itu menegaskan, jumlah tersebut terlalu jauh daripada mencukupi dan sepatutnya skuad lelaki perlu memiliki sekurang-kurangnya 10 pemain untuk memastikan pembangunan berterusan.
“Masa saya main dulu, kita ada 14 hingga 16 pemain perseorangan lelaki. Tapi sekarang tinggal empat sahaja – Leong Jun Hao, Ng Tze Yong (cedera), Justin Hoh dan Eogene Ewe. Saya memang terkejut,” katanya, kepada Flash Sukan.

Tze Yong terus mengalami detik “hitam” dalam keriernya apabila diulit kecederaan ACL pula.

Leong Jun Hao terus bergelut dengan turun naik prestasi, dan belum meneruskan konsistensi biarpun sudah kerap mengejutkan pemain di ranking lebih tinggi.
Justeru, Chong Wei berharap Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkerja lebih keras dalam masa sama, diberi masa untuk membina semula skuad yang semakin menipis.
“Saya harap Coach Kenneth bukan kerja keras sahaja, tapi kerja very very keras. Tapi jangan bagi tekanan sangat pada dia. Dia datang masa kita memang tak ada pemain. Takkan datang setahun dua dah kena hasilkan juara. Kena adil,” katanya.

Justin Hoh masih tercari-cari tapak untuk menjadi pesaing terkuat dunia.

Datuk Lee Chong Wei sentiasa berbincang dengan barisan kejurulatihan kebangsaan dan bertukar-tukar pandangan.
Tambahnya lagi, pembangunan pemain muda tidak boleh hanya bergantung kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan dari peringkat akar umbi di negeri dan sekolah.
“Kita tak boleh harap pemain yang ada sekarang saja. Kena mula dari bawah. Sekarang pun saya tengok negeri pun kurang hasilkan pemain. Kita kena cari pelapis. Itu yang penting,” katanya, yang tetap aktif membantu pembangunan sukan tanah air menerusi perkongsian pengalaman bersama BAM dan atlet muda.
Chong Wei yang kekal sebagai figura penting dalam arena badminton negara,memainkan peranan penting dalam program Road to Gold (RTG), turut menegaskan pentingnya sokongan berterusan untuk memastikan Malaysia kembali melahirkan pemain perseorangan lelaki bertaraf dunia.