MALAYSIA bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum mengikat Pakistan 3-3 dalam perlawanan dramatik di Piala Negara-Negara 2025, malam tadi – satu keputusan yang memberi sedikit kelegaan buat skuad Speedy Tigers dan ketua jurulatih mereka, Sarjit Singh.

Sarjit menyifatkan permulaan hambar anak buahnya sebagai berpunca daripada situasi ‘nervous’, ditambah gangguan jadual perlawanan yang sepatutnya bermula jam 8 malam tetapi tertunda hingga hampir sejam kemudian.

“Saya nampak bila pemain tengah mula pegang bola, kita kuasai suku ketiga dan keempat. Itu kuncinya, pegang dan lepas bola dengan bijak, cipta ruang dan peluang. Tapi penyerang kena lebih tajam selepas ini,” katanya.

Pakistan mendahului 2-0 pada suku pertama menerusi jaringan padang Ahmad Nadeem pada minit keenam dan pukulan sudut penalti Abdul Rehman.

Syed Syafiq Syed Cholan dicabar pemain Pakistan pada perlawanan pertama kumpulan B, Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025.

Speedy Tiger bangkit mengurangkan defisit apabila Fitri Saari meledakkan gol padang pada minit ke-49 sebelum Syed Syafiq Syed Cholan yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-53, menjadikan kedudukan 2-2. Ashraf Waheed Rana menjaringkan gol ketiga Pakistan sebbelum Fitri menyamakan kedudukan, meledak gol kedua peribadi menerusi pukulan sudut penalti, empat minit sebelum tamat permainan.

Sarjit turut menekankan kepentingan pemulihan segera memandangkan Malaysia akan turun bermain aksi kelima dalam tempoh 24 jam. “Ini masa di mana pengalaman sangat penting. Rehat, warm down, ice bath… semua kena buat betul-betul. Esok bukan mudah (New Zealand),” katanya.

Dengan semua lapan pasukan dilihat seimbang dan perlawanan hari ini dipenuhi keputusan mendebarkan, Sarjit menegaskan peluang masih terbuka luas. “Kalau ambil peluang dan bertahan dengan baik, semua pasukan ada peluang. Kita kena terus fokus,” katanya.