DUNIA hoki tanah air kehilangan seorang figura disegani apabila bekas pemain kebangsaan dan Olimpian, Allahyarham Kevin Nunis, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur, hari ini pada usia 65 tahun.
Difahamkan, jenazah Allahyarham kini sedang dimandikan di HKL sebelum dibawa ke surau kawasan perumahan keluarga di Segambut, Kuala Lumpur. Urusan pengebumian dijangka berlangsung sekitar jam 9 hingga 10 pagi Ahad, menurut maklumat yang dikongsi oleh ahli keluarga.
Berpangkalan dari Seremban, Kevin bukan sahaja dikenali sebagai tonggak skuad kebangsaan era 1980-an, malah pernah beraksi di pentas tertinggi sukan dunia apabila mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Los Angeles 1984. Beliau turut mencipta impak besar dalam dua edisi Sukan Asia (India 1982 dan Korea Selatan 1986) serta tiga penampilan di Sukan SEA (1983 Singapura, 1987 Jakarta, 1989 Kuala Lumpur).
Perjalanan Kevin dalam dunia hoki bermula seawal usia muda apabila dipilih menyertai Piala Dunia Remaja 1979 di Paris. Ketajaman dan disiplin yang dipamerkan ketika itu menjadi asas kepada kerjayanya bersama skuad senior selama lebih sedekad.
Selesai bergelar pemain, Kevin terus mencurah bakti sebagai jurulatih. Beliau pernah membimbing skuad negeri Terengganu pada 1990 sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Terry Walsh pada 1992. Peranan terakhirnya dalam pembangunan hoki negara ialah sebagai ketua jurulatih Program Pembangunan Hoki Kebangsaan pada 2021.
Pemergian beliau bukan hanya satu kehilangan kepada dunia sukan, tetapi juga kepada pembangunan generasi baharu dalam sukan hoki Malaysia. Dengan sumbangan merentasi dekad sebagai pemain, jurulatih dan pembimbing, Kevin Nunis akan sentiasa dikenang sebagai ikon hoki yang meletakkan jiwa dan raga demi negara.