MALAYSIA menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah 2024 dengan menduduki tempat keempat selepas tumpas kepada New Zealand dengan keputusan 2-3.

Beraksi di hadapan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang hadir menonton perlawanan penentuan itu ternyata masih belum cukup untuk The Speedy Tigers memenangi perlawanan.

Bersaksikan lebih kurang 4,000 penonton yang hadir ke Stadium Hoki Azlan Shah, perlawanan ini menghasilkan sebanyak 10 pukulan sudut penalti serta satu penalty stroke.

Malaysia memulakan permainan dengan baik apabila Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol padang untuk meletakkan The Speedy Tigers di hadapan hasil scoop daripada Faizal Saari pada minit ke-3.

New Zealand tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan apabila Scott Cosslett menjaringkan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-5.

Jonty Elmes menambah jaringan untuk pasukan Kiwi apabila beliau pula menjaringkan gol hasil pukulan sudut penalti 5 minit kemudian.

The Speedy Tigers mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi beberapa pukulan sudut penalti namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang New Zealand, George Enersen.

Pasukan ranking ke-12 dunia itu turut mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan gol apabila dihadiahkan penalty stroke namun tolakan bola oleh Azrai Aizad Abu Kamal tersasar jauh dari pintu gol.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan Malaysia menentang New Zealand

New Zealand mengesahkan kemenangan mereka apabila Dane Lett menjaringkan gol ketiga pada minit ke-48. Namun Malaysia memberi New Zealand ‘serangan jantung’ di minit akhir apabila Fitri Saari menjaringkan gol padang namun kebangkitan mereka sudah terlambat sekaligus keputusan kekal sehingga wisel penamat.

Ini merupakan kali keenam New Zealand menduduki tempat ketiga dalam kejohanan manakala bagi Malaysia, ini merupakan kali kelapan The Speedy Tigers menduduki tempat keempat dalam Piala Sultan Azlan Shah.