LE Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dijangka tetap menghadirkan saingan getir, meskipun tanpa kelibat juara keseluruhan, Max Poole dan Raja Pecut 2023, Simon Pellaud yang sah tidak akan turun mempertahankan gelaran masing-masing.

Namun, Ketua Pegawai Operasi perlumbaan, Emir Abdul Jalal memberi jaminan saingan kekal sengit dengan 22 pasukan bakal bertarung termasuk tiga gergasi WorldTeam, lapan ProTeam, 10 benua dan skuad kebangsaan negara.

Tiga pasukan WT yang sudah sah berentap ialah XDS Astana Team, Team Picnic PostNL dan Cofidis, dengan Picnic PostNL membariskan pelumba sensasi, Fabio Jakobsen sebagai taruhan utama untuk perebutan jersi hijau.

Pasukan Uno-X Mobility tidak kurang hebat apabila menurunkan pemenang peringkat Tour de France, Alexander Kristoff manakala Tudor Pro Cycling Team mempertaruhkan pakar pecut Giro d’Italia, Alberto Dainese.

Ketua Pegawai Operasi perlumbaan, Emir Abdul Jalal optimis LTdL2025 tetap meriah dan berprestij.

“Ini satu penghormatan buat LTdL apabila pelumba bertaraf dunia seperti Jakobsen, Kristoff dan Dainese menyertai saingan, sekali gus mengangkat imej perlumbaan ke tahap lebih tinggi,” kata Emir dalam sidang media, hari ini.

Enam daripada lapan ProTeam bertanding adalah pasukan Grand Tour termasuk Total Energies dan Burgos-BH, manakala dua lagi seperti Unibet Tietema Rockets (Perancis) dan Team Solution Tech-Vini Fantini (Itali) hadir sebagai muka baharu.

LTdL 2025 yang membabitkan kayuhan sejauh 1,257.8 kilometer merentas 12 negeri turut dihiasi kehadiran dua pasukan benua tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), serta tujuh lagi pasukan serantau yang cukup dikenali di pentas Asia.