SUKAN SEA ke-34 dijadual berlangsung pada 18 hingga 29 September , satu tarikh strategik meteorologi dan cuti universiti.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Menterinya Hannah Yeoh berkata, tarikh berkenaan dipilih kerana ia jatuh pada musim cuti universiti dan belum tiba musim tengkujuh, selain memastikan Sukan SEA berlangsung selepas Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tanpa bertembung dengan acara besar lain.
“Penetapan ini juga dibuat dengan mengambil kira kepentingan atlet, logistik serta keperluan operasi, supaya Malaysia dapat menganjurkan temasya yang tersusun, berimpak dan mampu menjadi kebanggaan rantau,” kata Hannah.
Hannah turut mengumumkan senarai awal 38 sukan yang dipilih berdasarkan ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), kesediaan venue sedia ada, selain turut menimbang program Road To Gold (RTG) dan Program Podium sebagai penanda aras prestasi nasional.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran Sukan SEA 2027 akan menggunakan empat kluster, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, mengutamakan tujuan memperkukuh pembangunan sukan secara menyeluruh sambil memanfaatkan infrastruktur sukan di seluruh negara.
“Pendekatan kluster ini memberi peluang lebih luas kepada negeri-negeri terlibat untuk membina momentum sukan tempatan, selain memastikan penyertaan masyarakat secara lebih inklusif,” katanya, merujuk Sarawak yang menjadi kluster utama dengan 17 sukan termasuk akuatik, gimnastik dan memanah.
Hannah turut menekankan bahawa Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah upacara penutup selain 14 sukan utama seperti badminton, olahraga, hoki dan pelayaran, manakala Johor menjadi pusat bola sepak dan Pulau Pinang mengendalikan enam sukan termasuk tinju dan sepak takraw.
Dalam perkembangan sama, Hannah mengumumkan Sukan Para ASEAN pula akan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur serta memaklumkan bahawa pertandingan mencipta logo dan maskot rasmi kini dibuka hingga 31 Disember 2025.