KAPTEN skuad B-20 wanita negara, Dhiyaa Addin mengakui kekalahan 0-3 kepada Iran dalam aksi sulung Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 malam tadi bukanlah permulaan yang mereka impikan. Namun, pemain berusia 19 tahun itu tetap memandang positif terhadap pengalaman yang diperoleh pasukan muda negara di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Katanya, Iran adalah pasukan yang memiliki kelebihan dari segi fizikal dan pengalaman, namun perlawanan itu telah membuka ruang pembelajaran buat barisan Malayan Tigress untuk lebih memahami keperluan taktikal dan keserasian di peringkat antarabangsa.

“Memang ini bukan keputusan yang kami mahu, bukan satu permulaan yang baik untuk kami. Tapi kami belajar banyak daripada pasukan Iran. Dari segi corak permainan dan saiz fizikal mereka pun jauh berbeza. Kami boleh belajar banyak daripada mereka,” ujar Dhiyaa.

Malaysia sebenarnya tidak ketandusan peluang sepanjang perlawanan, termasuk sepakan penalti yang gagal disempurnakan pada babak kedua. Namun, menurut Dhiyaa, mungkin belum rezeki buat mereka malam itu.

“Mengikut peluang, memang Malaysia ada banyak peluang yang tak dapat ditukar kepada jaringan. Mungkin belum ada rezeki untuk Malaysia malam ini,” katanya.

Mengulas aksi seterusnya menentang juara Piala Dunia B-17, Jepun, Dhiyaa menegaskan bahawa semangat mereka tidak akan luntur dan fokus kini tertumpu kepada misi bangkit dalam perlawanan kedua kumpulan.

“Kami akan buat yang terbaik untuk game seterusnya. Lupakan apa yang terjadi dalam game menentang Iran dan kami akan bangkit lebih kuat.”