DUA pasukan ProTeam (PT) dari Perancis, Team TotalEnergies dan Unibet Tietema Rockets kembali mewarnai Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) bermula 28 September ini selepas lama tidak beraksi dalam saingan terunggul Asia itu.
TotalEnergies yang dahulu dikenali sebagai Bonjour, Bouygues Telecom, Bbox-Bouygues dan Europcar, pernah menjadi antara pasukan paling konsisten di pentas LTdL sebelum muncul dengan nama baharu pada 2020.
Unibet Tietema Rockets pula terakhir beraksi pada edisi 2007 dengan nama Unibet.com, sebelum isu penajaan perjudian memaksa pasukan itu menyepi lebih sedekad sebelum dihidupkan semula pada 2023.
Kehadiran semula dua pasukan ini menarik perhatian kerana senarai pelumba mereka lebih tertumpu kepada pemburuan jersi kuning keseluruhan (GC) berbanding memburu kemenangan pecut.
Ketua Pegawai Operasi LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, fokus TotalEnergies dan Unibet bakal terarah kepada peringkat pendakian sukar seperti Gerik-Pasir Puteh, Temerloh-Bukit Fraser dan penamat berbukit di Look Out Ampang.
TotalEnergies menurunkan barisan pelumba berprofil tinggi termasuk Joris Delbove, Alan Jousseume, Nicola Mancerou dan Adam Mitchell sebagai pakar pendakian, selain dua pecut utama Lorenzo Manzin serta Jason Tesson.
Unibet pula membawa deretan pakar mendaki seperti Adrien Maire, Giovanni Carboni dan Odd Christian Eiking yang dijangka menguji dominasi pelumba Asia di laluan berbukit.
LTdL25 kali ini membabitkan lapan peringkat merentasi 12 negeri dengan jarak keseluruhan 1,224.2 kilometer, bermula di Pulau Langkawi pada 28 September dan berakhir penuh bergaya di KLCC pada 5 Oktober.