PASUKAN Iran memulakan aksi Kumpulan G, Pusingan Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 dengan melakar kemenangan besar 12-0 ke atas Bangladesh.
Aksi di gelanggang berwajah baru Stadium Tertutup SUKPA, menyaksikan dominasi penuh gergasi Asia itu, yang meledak enam jaringan di setiap babak permainan.
“Perlawanan ini sama pentingnya dengan perlawanan lain, tiada pengecualian. Tiada lawan yang kita ambil mudah, keputusan perlawanan membuktikannya.
“Pemain agresif dari awal hingga wisel penamat, tidak kendurkan tempo walau jauh mendahului. Masing-masing mahu tunjukkan nilai mereka kepada pasukan, demi nama Iran yang mereka galas,” ujar pengendali Iran, Vahid Shamsaee.

Manakala pengendali Bangladesh, Saied Khodarahmi mengakui pasukannya tiada pilihan selain bermain dengan strategi ultra defensif menentang pasukan seampuh Iran.
“Kalau tanya saya, saya tak suka permainan negatif (bertahan). Tetapi apa yang boleh dibuat, lawan kita adalah Iran. Anda lihat, kita hanya boleh berkampung.
“Tetapi bagi saya, tiada apa untuk dikesalkan. Kita datang ke sini lebih kepada pendedahan dan pengalaman yang mereka dapat hari ini adalah mahal.”
Aksi kedua pada Isnin, Iran akan berdepan jiran Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu manakala Bangladesh menentang Harimau Malaya.
sumber : Muhammad Aiman