JARINGAN lewat permainan Awalludin Mohd Nawi memastikan Malaysia melakar kemenangan penting ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE), dalam aksi kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Perlawanan yang berlangsung sengit di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan dilihat menuju keputusan seri tanpa jaringan sebelum Awalluddin muncul wira dengan jaringan gol tunggal perlawanan dua minit sebelum tamat permainan.
Bintang skuad Johor Darul Takzim itu, memanfaatkan kesilapan Rashid Obaid Ali yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, dan melakukan rembatan leret menewaskan Hamad Albaroud di gawang UAE.
Ia jelas tamparan buat penjaga gol itu yang tampil cemerlang sepanjang permainan, menjadi tembok kebal mengagalkan deretan percubaan skuad Harimau Malaya menerusi rangkaian Syahir Ikbal Khan, Harith Naim, Khairul Effendy Bahrin, Ridzwan Bakri dan Awalluddin.
Tiga mata dalam aksi sulung ini, meletakkan Malaysia di tangga kedua di belakang Iran, dan dalam landasan yang baik untuk layak ke Piala Asia di Indonesia pada Januari depan.
Fokus seterusnya buat Harimau Malaya, adalah meraih tiga lagi mata berdepan Bangladesh pada Isnin.
Sumber: Muhammad Aiman