REKOD 11 kemenangan daripada 15 pertemuan sebelum ini gagal dijadikan sandaran buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila sekali lagi tumbang kepada gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Beregu nombor dua dunia itu dikecewakan straight set 17-21, 14-21 dalam aksi separuh akhir Masters China 2025 yang berlangsung di Shenzhen Arena, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik nyata bergelut menyaingi kelincahan serta corak permainan pantas pasangan ranking ketujuh dunia berkenaan sepanjang 41 minit pertarungan.

Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mara ke final kedua berturut-turut selepas muncul naib juara Terbuka Hong Kong minggu lalu.

Kekalahan itu memadam harapan Malaysia untuk membawa dua wakil ke pentas final selepas beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlebih dahulu menempah slot akhir.

Pasangan negara itu bakal berdepan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam perebutan kejuaraan esok.

Tang Jie-Ee Wei sebelum itu melakar kejutan besar dengan menumbangkan juara bertahan yang juga pilihan utama tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 22-24, 21-19, 21-17.