PASUKAN Selangor FC membuktikan status sebagai pencabar utama Piala FA apabila membenam Negeri Sembilan FC 4-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, malam tadi.

Faisal Halim menjadi nadi utama kemenangan bergaya itu apabila meledak dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan, sekali gus meneruskan rentak luar biasanya dengan menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut, termasuk bersama Harimau Malaya ketika menewaskan Laos baru-baru ini.

The red Giants bermula garang seawal minit keempat apabila Chrigor Moraes hampir membuka jaringan, namun bola berjaya diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Azri Ghani. Usaha berterusan Selangor akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-34 apabila Faisal bijak menyempurnakan serangan balas pantas untuk meletakkan pelawat di depan.

Tersentak dengan jaringan itu, Skuad Jang cuba mengatur rentak melalui kapten mereka, Takumi Sasaki, tetapi rembatan kencangnya mudah ditangkap Kalamullah Al-Hafiz. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Selangor tampil lebih bertenaga apabila hanya memerlukan kurang seminit untuk menambah jaringan menerusi Chrigor Moraes yang menewaskan Azri buat kali kedua.

Zach Clough kemudian menjadikan kedudukan 3-0 apabila menanduk kemas hantaran Faisal pada minit ke-56, sebelum pemain sayap kebangsaan itu sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-63 bagi melengkapkan malam sempurna Merah Kuning.

Keputusan 4-0 memberi kelebihan besar buat Selangor menjelang aksi timbal balik pada 29 Oktober nanti, manakala Negeri Sembilan perlu tampil luar biasa untuk mengubah nasib.

Sebelum itu, Selangor akan berdepan cabaran Persib Bandung dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 23 Oktober, manakala Negeri Sembilan bakal menentang PDRM FC dua hari kemudian.