JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan penguasaan apabila berjaya mencatat kemenangan kedua dari dua perlawanan Liga Super apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan itu menyaksikan JDT membuat satu pertukaran dari kesebelasan yang menewaskan Terengganu dengan memasukkan pemain naturalisasi baharu, Endrick Dos Santos menggantikan tempat Afiq Fazail.
Kuala Lumpur City pula dilihat turun dengan corak yang lebih defensif apabila merehatkan tiga pemain penyerang, Herlison Caion, Haqimi Azim dan Zhafri Yahya dengan tugas serangan diberikan kepada Patrick Reichelt dan Romel Morales.
LIGA SUPER 2023
FT: Kuala Lumpur City FC 0-3 Johor Darul Ta'zim FC
⚽ Romel Morales (OG)41', Endrick Dos Santos 52', Arif Aiman 90'#LigaSuper2023#SampaiMatiKualaLumpur#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/UVu43C6HK5
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 1, 2023
JDT menguasai sebahagian besar permainan babak pertama dengan KL City sesekali mengancam menerusi ‘set piece’ yang gagal menguji gawang Harimau Selatan yang dikawal Syihan Hazmi.
Empat minit sebelum berakhir babak pertama, JDT memecah kebuntuan apabila keadaan kelam kabut di depan gawang memaksa Romel Morales tertolak bola ke gawang sendiri dalam usaha dia menafikan percubaan Jordi Amat.
Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat pemain JDT dan tidak sampai sepuluh minit permainan bersambung pada babak kedua, Endrick Dos Santos meledak gol debutnya bersama Harimau Selatan untuk meletakkan JDT 2-0 di hadapan untuk menggembirakan 6,847 penyokong di stadium.
Pengendali KL City, Bojan Hodak melakukan empat pertukaran serentak dengan memasukkan kesemua pemain penyerang bagi mendapatkan gol namun masih gagal mengatasi barisan pertahanan JDT yang bertahan dengan berdisiplin.
Gandingan dua pemain muda, Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman menyumbang gol ketiga JDT pada minit ke-90 untuk anak-anak buah Esteban Solari pulang ke Iskandar Puteri dengan tiga mata penuh.
Dengan kemenangan ini, JDT berjaya mengumpul enam mata dari dua perlawanan manakala KL City kini hanya dengan satu mata selepas dua perlawanan di tempat sendiri dan mula merasai tekanan.