PEMAIN pertahanan negara, Dion Cools, mengakui pengalamannya beraksi di Liga Jepun (J-League) banyak membantunya memahami variasi taktikal yang kini diterapkannya bersama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Clamovski.
Menurut Cools, corak permainan di Jepun yang menuntut disiplin tinggi serta kefahaman taktikal mendalam memberi nilai tambah besar terhadap tahap permainannya di peringkat antarabangsa.
“Di Jepun, setiap pergerakan pemain diatur secara sistematik dan berasaskan taktikal pasukan. Ia membantu saya melihat bola sepak dari sudut lebih luas — bukan sekadar bertahan tetapi juga bagaimana untuk bantu pasukan membina serangan,” jelas Cools.
Bekas pemain Buriram United itu turut menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu proses pembelajaran yang membentuk dirinya menjadi pemain lebih matang, terutama dalam menyesuaikan diri dengan falsafah bola sepak moden.
“Corak latihan di sana menekankan kelajuan membuat keputusan dan kefahaman antara posisi. Itu antara perkara yang saya bawa ke dalam pasukan kebangsaan sekarang,” katanya.
Cools juga optimis Harimau Malaya berada di landasan tepat di bawah bimbingan Clamovski, yang dikenali dengan pendekatan bola sepak berasaskan penguasaan dan disiplin taktikal mirip gaya permainan Asia Timur.
“Coach Clamovski ada falsafah yang sangat jelas dan saya rasa pengalaman saya di Jepun membantu saya memahami apa yang beliau mahukan di atas padang,” ujarnya.
Harimau Malaya kini giat mempersiapkan diri bagi kempen kelayakan Piala Asia dalam menentang Nepal pada Selasa jam 9:00 malam.