SABAH FC meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super apabila membenam tuan rumah, PJ City FC 2-1 di Stadium MBPJ, Selasa malam.
Darren Lok meneruskan rentak cemerlang dalam liga apabila berjaya menjaringkan gol ketujuh peribadinya musim ini untuk meletakkan PJ City dihadapan pada minit ke-34 hasil sepakan sudut.
Sabah FC pula yang turun tanpa beberapa tonggak akibat kecederaan dilihat sangat bergelut pada separuh masa pertama namun mengubah corak permainan dengan bermain lebih pantas pada babak kedua.
Hasilnya, Taiki Kagayama berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48 untuk gol keduanya dalam liga selepas kali terakhir menggegar jaring ketika bertemu Sri Pahang FC Jun lalu.
75′ GOL | Sabah FC kini berada di depan hasil jaringan Irfan Fazail!@pjcityfc 1-2 @SabahFCofficial #LigaSuper2022 pic.twitter.com/LXmKYE3Dpk
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) July 26, 2022
Kebijaksanaan Datuk Ong Kim Swee merencanakan taktikal harus diberikan pujian apabila pemain gantian, Irfan Fazail berjaya meletakkan Sabah FC dihadapan 2-1 pada minit ke-75, lima minit selepas dia dimasukkan
PJ City tenggelam punca pada separuh masa kedua dan hanya pada minit-minit terakhir permainan dapat melancarkan beberapa percubaan bahaya namun dinafikan kehandalan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Sabah.
Dengan kemenangan ini, Sabah FC kekal di tangga kedua dengan 28 mata, satu mata dibelakang pendahulu liga manakala PJ City FC kini ditangga ke-10 dengan 11 mata dari 12 perlawanan.
Kemenangan Sabah FC ini juga turut disaksikan lebih 1,200 penyokong setia The Rhinos yang berada di Lembah Klang yang tidak henti-henti memberikan sorakan padu kepada pasukan.
Selain itu, turut kelihatan barisan kejurulatihan Harimau Malaya diketuai Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon juga turut kelihatan memantau prestasi pemain kedua-dua pasukan sebagai langkah awal menjelang kalendar FIFA September nanti.