BOLA sepak wanita di Asia Timur perlu terus diperkasakan lagi terutama dalam merapatkan jurang perbezaan dengan bola sepak lelaki.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang hadir ke Simposium Pemerkasaan Wanita yang diadakan sempena Ulang Tahun ke-20 Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF) di Tokyo, Jepun , berkata Malaysia dan juga negara Asia Timur perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menyahut seruan ini.

“Berdasarkan simposium pembentangan oleh Pengerusi WE League Jepun, Kikuko Okajima mendapati indeks jurang perbezaan jantina di Malaysia agak tinggi ialah 103.

“Kita juga perlu memperbaiki cara dalam menaikkan lagi bola sepak wanita, terutama dari segi promosi dan laporan oleh media tempatan.

“Okajima mengambil contoh terbaik bola sepak wanita di negara USA dan Sepanyol,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidin juga mengambil peluang pendedahan ini untuk mengenalpasti ciri-ciri kepimpinan kejurulatihan buat bola sepak wanita untuk memartabatkan lagi bola sepak Malaysia ke peringkat lebih baik.

“Kita perlu memperbaiki Malayan Tigress, pasukan ini perlu diperkemas agar terus mengaum dan gerakan ini perlu dimulakan segera dari bawah terutama di peringkat akar umbi dan kejurulatihan.

“Bagaimanapun seperti yang dibentangkan di simposium ini, gerakan memperkasakan bola sepak wanita perlukan kerjasama dan sokongan semua pihak terutama dalam pendedahan di media,” katanya.

Hamidin turut berada di Tokyo bagi menyantuni undangan EAFF sempena Ulangtahun ke-20 Persekutuan itu dan menyaksikan perlawanan kejohanan EAFF E-1.