PASUKAN Imigresen FC (IFC) mengumumkan pelantikan Mehmet Durakovic sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Pelantikan bekas pengendali berpengalaman itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kelab untuk memperkukuhkan struktur pasukan serta meningkatkan daya saing dalam menghadapi cabaran yang lebih besar pada musim akan datang.
Menurut kenyataan rasmi kelab, pengurusan yakin pengalaman luas, kepakaran teknikal dan rekod pencapaian yang dimiliki Durakovic mampu membawa dimensi baharu kepada pasukan selain menyuntik semangat juang yang lebih tinggi dalam kalangan pemain.
IFC turut menyifatkan musim baharu sebagai satu fasa penting dalam perkembangan kelab, dengan sasaran untuk terus berkembang dan mencapai lebih banyak kejayaan di pentas domestik.
“Musim baharu membawa cabaran yang lebih besar, namun ia juga membuka peluang untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Dengan semangat, disiplin dan tekad yang sama, IFC akan terus melangkah ke hadapan demi merealisasikan cita-cita serta aspirasi kelab,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, kelab itu turut merakamkan penghargaan kepada bekas ketua jurulatih, Yusri Che Lah, atas jasa dan komitmen yang dicurahkan sepanjang bersama pasukan.
Yusri memainkan peranan penting dalam pembangunan serta kemajuan IFC sejak beberapa musim lalu, dan pihak pengurusan mendoakan kejayaan berterusan buat beliau dalam karier kejurulatihannya selepas ini.
Pelantikan Durakovic kini memberi isyarat jelas bahawa Imigresen FC bersedia untuk membuka lembaran baharu dengan sasaran yang lebih tinggi menjelang kempen 2026/2027.
Dengan reputasi serta pengalaman yang dimiliki jurulatih kelahiran Bosnia-Herzegovina itu, penyokong The Pride of the North pastinya berharap beliau mampu membawa kelab melakar lebih banyak kejayaan pada musim akan datang.