SL Benfica’s Portuguese head coach Jose Mourinho looks on before the Portuguese League football match between GD Estoril Praia and SL Benfica at the Antonio Coimbra da Mota stadium in Estoril on May 16, 2026. (Photo by FILIPE AMORIM / AFP)
Benfica mengesahkan perpisahan dengan ketua jurulatih, Jose Mourinho, sekali gus membuka jalan kepada pengendali berpengalaman itu untuk kembali menyertai Real Madrid menjelang musim baharu.
Kelab gergasi Portugal itu dalam satu kenyataan memaklumkan Real Madrid telah mengemukakan tawaran rasmi bagi mendapatkan Mourinho dengan nilai sekitar 15 juta euro (RM70.2 juta), selaras dengan klausa pelepasan yang terkandung dalam kontraknya.
Dalam masa sama, Benfica turut mengumumkan pelantikan Marco Silva sebagai pengendali baharu selepas jurulatih berusia 48 tahun itu meninggalkan Fulham sebaik berakhirnya musim Liga Perdana Inggeris.
Silva dilaporkan menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan memulakan tugasnya bersama kelab yang berpangkalan di Lisbon itu dalam masa terdekat.
Perkembangan tersebut menguatkan lagi spekulasi mengenai kepulangan Mourinho ke Santiago Bernabeu, terutama selepas Florentino Perez dipilih semula sebagai presiden Real Madrid hujung minggu lalu.
Mourinho bukanlah nama asing buat penyokong Los Blancos apabila pernah mengendalikan kelab itu antara 2010 hingga 2013. Sepanjang tempoh tersebut, beliau membantu Real Madrid meraih kejuaraan La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol.
Kepulangan jurulatih berusia 63 tahun itu dilihat sebagai usaha Real Madrid untuk kembali mencabar kejuaraan selepas mengharungi musim 2025-26 yang mengecewakan tanpa sebarang trofi utama.
Situasi itu turut menyaksikan Real Madrid menamatkan dua musim berturut-turut tanpa kejayaan besar, sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah kelab berkenaan.
Sebelum ini, Real Madrid turut mengesahkan pemergian Alvaro Arbeloa yang mengambil alih tugas daripada Xabi Alonso pada Januari lalu, sekali gus mencetuskan keperluan untuk mencari pengendali baharu bagi memimpin pasukan menghadapi kempen akan datang.
Dengan pengalaman luas serta rekod kejayaan di pentas tertinggi Eropah, Mourinho kini dilihat semakin hampir untuk memulakan episod kedua bersama gergasi Sepanyol itu.