Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan beberapa perubahan besar dalam struktur pasukan kebangsaan apabila menamatkan kontrak beberapa pegawai dan jurulatih menerusi persetujuan bersama.
Antara yang terlibat ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend, yang secara rasmi menamatkan perkhidmatannya bersama FAM berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Turut meninggalkan skuad kebangsaan ialah Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, bersama dua anggota staf teknikalnya iaitu Matthew Smith dan Seiya Imazaki. Penamatan kontrak ketiga-tiga mereka berkuat kuasa pada 16 Jun 2026.
Dalam perkembangan sama, FAM turut mengesahkan kontrak Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin ditamatkan secara persetujuan bersama bermula 15 Jun lalu.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, badan induk bola sepak negara itu menzahirkan penghargaan atas segala sumbangan dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh mereka bersama pasukan kebangsaan.
“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
FAM turut memaklumkan bahawa proses bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan sedang dilakukan bagi memastikan perancangan dan pembangunan pasukan kebangsaan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Menurut badan induk itu, sebarang perkembangan berkaitan pelantikan baharu serta hala tuju pasukan kebangsaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Perkembangan ini menyaksikan perubahan besar dalam landskap pengurusan dan kejurulatihan pasukan kebangsaan menjelang fasa baharu Harimau Malaya.