PASUKAN tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (USA), mempamerkan kecekalan luar biasa apabila berjaya mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, pagi tadi.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu membuktikan status mereka selaku pencabar utama selepas berjaya menjinakkan cabaran Bosnia & Herzegovina 2-0 di San Francisco Bay Area Stadium.

Folarin Balogun terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-45 selepas bijak menyempurnakan umpanan pendek Malik Tillman.

Tuan rumah bagaimanapun berdepan detik cemas pada minit ke-64 selepas Balogun dilayangkan kad merah terus susulan terjahan keras ke atas Tarik Muharemović selepas semakan VAR.

Di sebalik asakan Bosnia yang cuba memanfaatkan kelebihan bilangan pemain, penjaga gol USA, Matt Freese, beraksi cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

USA sekali lagi memecah gawang Bosnia menerusi Malik Tillman, pada minit ke-82 menerusi satu sepakan percuma lencong yang menarik.

Kemenangan bersejarah itu sekali gus menamatkan badi 10 kekalahan berturut-turut USA menentang wakil Eropah di pentas Piala Dunia sejak tahun 2002.

Menjelang aksi pusingan 16 terbaik pada Isnin ini, USA bakal berdepan tugas berat menentang Belgium di Seattle tanpa khidmat Balogun yang digantung perlawanan.

Belgium mempunyai kelebihan besar berdasarkan rekod pertemuan lalu apabila skuad The Red Devils itu berjaya menewaskan USA sebanyak lima kali daripada enam pertembungan sebelum ini.

Bagaimanapun, USA yang hanya pernah mencatatkan satu kemenangan perlu melupakan seketika rekod lampau tersebut.

Sebaliknya, perlu memanfaatkan momentum prestasi mereka yang jauh lebih meyakinkan sepanjang saingan Piala Dunia 2026 ini.

Kredit Gambar – Charlotte Wilson / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP