GERGASI bola sepak dunia, England berjaya mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas mengharungi aksi pusingan 32 yang penuh dramatik, pagi tadi.
England terselamat daripada dimalukan apabila bangkit selepas ketinggalan dalam menewaskan wakil Afrika, Republik Demokratik Congo (DR Congo) 2-1 di Stadium Atlanta, Georgia.
Skuad Three Lions dikejutkan seawal minit ketujuh apabila penyerang DR Congo, Brian Cipenga, melepaskan rembatan rendah menewaskan Jordan Pickford.
Anak buah Thomas Tuchel bergelut sepanjang babak pertama ekoran ketangkasan penjaga gol lawan, Lionel Mpasi, yang berjaya menyekat peluang keemasan Jude Bellingham dan Harry Kane.
Taktikal Thomas Tuchel memasukkan Anthony Gordon pada babak kedua berjaya mengubah perlawanan apabila hantaran lintangnya pada minit ke-75 berjaya ditanduk kemas oleh Harry Kane untuk gol penyamaan.
Kane sekali lagi muncul wira mutlak negara apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-86 selepas bijak berpusing melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan padu.
Sejurus tamat perlawanan, Kane dilihat mengumpulkan rakan sepasukannya di atas padang bagi meraikan kemenangan bermakna itu bersama para penyokong.
Kapten England itu turut mengingatkan barisan pemain agar menghargai setiap titis perjuangan yang dicurahkan sepanjang perlawanan yang dianggap amat sengit itu.
Menurut Gordon, Kane menegaskan bahawa kemenangan tersebut bukanlah penentu segalanya dan belum memenangi kejuaraan, namun mereka berhak meraikannya sama seperti negara-negara lain.
“Kadangkala negara-negara besar cenderung untuk tidak meraikan kemenangan dengan sebaiknya kerana mereka mahu melangkah lebih jauh dan memikul harapan yang tinggi dan itu sepatutnya tidak berlaku,” kata Gordon.
Dalam pada itu, Gordon turut memuji sumbangan dan pengaruh Harry Kane bagi menentukan perlawanan ini.
“Tanpa dia, saya mungkin tidak akan membuat keputusan itu.
“Untuk hantaran silang itu, saya mungkin akan terus merembat seperti biasa, tetapi sebaik sahaja saya menerima bola, saya dapat melihat dia di dalam kotak, jadi saya menghantar ke kawasan itu dan dia berjaya menjaringkan kedua-dua gol itu,” tambah Gordon.
Kejayaan ini dalam masa yang sama mencipta sejarah baharu buat England yang pertama kali memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia selepas ketinggalan pada separuh masa pertama.
Berdasarkan jadual, England bertemu pasukan tuan rumah, Mexico, di Atlanta pada Isnin, 6 Julai ini untuk perebutan tiket ke suku akhir.
Kali terakhir dua pasukan ini bermain, England berjaya menewaskan Mexico dalam perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia 2010 dengan jaringan 3-1.
Juga, Mexico berjaya memenangi menentang England kali terakhir pada 1985 dengan jaringan 1-0.
England memiliki kelebihan yang besar apabila berjaya membenam Mexico sebanyak lima kali daripada enam perlawanan, manakala skuad El Tri itu hanya mampu mencatatkan satu kemenangan ke atas Three Lions.
Kredit Gambar: Roberto Schmidt / AFP