Itu pengakuan penyerang Speedy Tigers, Faizal Saari menjelang penampilan keempatnya di Piala Dunia Belgium 2026, dengan pemain berusia 34 tahun itu bertekad menutup perjalanan di pentas dunia dengan kenangan manis bersama Malaysia.
Faizal yang sudah mengumpul 322 kaps antarabangsa bakal beraksi di Piala Dunia buat kali keempat selepas penampilan pada edisi 2014, 2018 dan 2023, namun mengakui cabaran kali ini cukup getir apabila Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Belgium, Jerman dan Perancis.
“Syukur Alhamdulillah dapat ke Piala Dunia untuk kali keempat dan saya rasa Piala Dunia yang terakhir dalam karier saya. Berdebar pun ada sebab kumpulan kita sangat sukar dengan pasukan nombor satu dunia, Belgium, Jerman dan Perancis. Susah nak kalahkan mereka tetapi tak mustahil,” katanya.
Faizal bagaimanapun tidak mahu penampilan terakhirnya berakhir begitu sahaja, sebaliknya mahu menggunakan pengalaman luas untuk membantu Speedy Tigers mengharungi cabaran menentang barisan gergasi dunia itu.
Malaysia akan membuka kempen menentang Jerman pada 15 Ogos, diikuti Perancis pada 17 Ogos dan tuan rumah Belgium pada 19 Ogos, dengan kapten Muhammad Marhan Mohd Jalil serta Faiz Helmi Jali turut membuat penampilan keempat mereka di Piala Dunia.
Dengan pentas dunia kali ini berkemungkinan menjadi penutup perjalanan Faizal di Piala Dunia, penyerang itu pastinya mahu meninggalkan sesuatu yang bermakna sebelum menutup lembaran kariernya di kejohanan berprestij berkenaan.