Kredit Gambar: AHF

Malaysia membawa misi menewaskan India apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir Hoki Piala Asia Remaja 2026 di Moqi, China esok, sekali gus memburu tiket ke final kejohanan.

Jurulatih skuad remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui pasukan India bukan lawan mudah selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan kumpulan, namun anak buahnya akan cuba menutup kekuatan lawan dan mencari ruang untuk mencipta kemenangan.

“Untuk perlawanan dengan India, kita juga dah biasa main dengan mereka, sudah lima kali bertemu. Mereka pasukan yang bagus. Perlawanan terakhir mereka juga menunjukkan mereka menewaskan Jepun 7-3.

“Kita pergi dengan misi cuba untuk menang. Untuk menang dengan India, kita cuba tutup kelebihan mereka dan cuba curi mata untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.

Malaysia mara ke separuh akhir selepas menewaskan China 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B, kelmarin, menerusi jaringan awal Muhammad Safwan Salihe pada minit kelapan.

Bagaimanapun, kemenangan itu hadir dalam situasi mencabar apabila Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama 10 minit terakhir selepas seorang pemain dilayangkan kad kuning, menyebabkan struktur permainan skuad negara sedikit terganggu.

Nor Saiful menyifatkan pengalaman itu sebagai pembelajaran penting buat barisan muda negara, terutama kerana sebahagian besar pemainnya bakal beraksi dalam separuh akhir pertama mereka di pentas Piala Asia Remaja.

“Ini pengalaman yang baik untuk pemain apabila terpaksa bermain 10 orang selama 10 minit terakhir dalam perlawanan penentuan ke separuh akhir. Mereka belajar daripada situ,” katanya.

Malaysia bagaimanapun terpaksa berdepan kehilangan Gagandeep Singh Aphtar Singh yang tidak dapat diturunkan pada aksi separuh akhir selepas mengumpul dua kad kuning sepanjang kejohanan.

Selain itu, Nor Saiful mengesahkan pemain lain berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan dan bersedia memberikan aksi terbaik menentang India.

Pertemuan India-Malaysia dijadualkan berlangsung pada jam 4.45 petang esok dengan pemenang akan mara ke final Piala Asia Remaja 2026.

Apa juga keputusan pertemuan itu, Malaysia sudah mengesahkan tiket secara merit ke Piala Dunia Remaja 2027 selepas menamatkan saingan kumpulan B dengan kemenangan 1-0 ke atas China.