Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan menganggap peluang Malaysia untuk mara ke final Piala ASEAN 2026 sudah berakhir meskipun tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Kekalahan di laman sendiri itu menyaksikan Malaysia perlu menghasilkan kebangkitan besar pada aksi timbal balik di Stadium My Dinh, Hanoi, bagi mengatasi defisit dua gol dan meneruskan kemaraan ke pentas final.

Cheng Hoe bagaimanapun percaya 90 minit masih berbaki dan anak buahnya belum boleh mengibarkan bendera putih, sebaliknya perlu menjadikan aksi di Hanoi sebagai peluang untuk mengubah keadaan.

“Kita masih mempunyai 90 minit lagi. Kita belum kalah dalam peperangan, cuma tewas dalam pertempuran pertama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menurut pengendali berusia 58 tahun itu, Malaysia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu jaringan bagi meningkatkan keyakinan pemain sebelum berdepan Vietnam di laman sendiri mereka.

“Mungkin jika kita dapat menjaringkan satu gol, keyakinan pemain akan meningkat. Sudah tentu kita tahu Vietnam sangat kuat apabila bermain di laman sendiri. Saya yakin kita perlu ke sana dan berdepan cabaran itu,” katanya.

Vietnam membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Nguyen Xuan Son sebelum gol sendiri Muhammad Faris Danish Asrul pada minit ke-86 memberikan juara bertahan itu kelebihan dua gol menjelang aksi kedua.

Cheng Hoe tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya, khususnya barisan pertahanan yang kurang berpengalaman tetapi mampu memberikan tentangan sengit kepada Vietnam sepanjang perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang Sik mengakui masih belum berpuas hati dengan keseluruhan persembahan pasukannya walaupun berjaya membawa pulang kemenangan 2-0. Pengendali dari Korea Selatan itu mahu anak buahnya memperkemaskan beberapa aspek permainan sebelum pertemuan seterusnya.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Thailand mencatat kemenangan 3-1 ke atas Singapura. Aksi final secara timbal balik dijadualkan berlangsung pada 22 dan 26 Ogos.