Kredit Gambar: Kesultanan Pahang
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor UMPSA 2026 yang berlangsung di Sungai Long Golf & Country Club, di sini, semalam.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda pada jam 7.15 pagi disambut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA serta Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib serta Pro Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor UMPSA 2026. (Kredit Gambar: Kesultanan Pahang)
Kebawah Duli Paduka Baginda kemudian berkenan menyempurnakan gimik perasmian sebelum kejohanan dimulakan secara shotgun pada jam 7.50 pagi.
Selesai saingan, Kebawah Duli Paduka Baginda berkenan berangkat ke Grand Ballroom untuk menghadiri Majlis Jamuan Diraja bersama para jemputan dan peserta kejohanan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan montaj serta penyerahan sumbangan cek cura daripada pihak industri kepada Kebawah Duli Paduka Baginda selaku Canselor UMPSA.
Kebawah Duli Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak UMPSA sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan dan menyempurnakan cabutan bertuah.
Kejohanan yang julung kali dianjurkan UMPSA dan Yayasan UMPSA itu turut diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak UMPSA yang bakal diraikan pada 16 Februari 2027, selain menjadi wadah untuk menghimpunkan semula alumni serta membuka ruang kepada mereka menyumbang kembali kepada universiti.
Penganjuran kejohanan itu turut menyumbang kepada usaha UMPSA dan Yayasan UMPSA mengumpulkan dana Endowmen Tuanku Canselor yang kini mencecah lebih RM7.8 juta hasil sumbangan strategik daripada pihak industri, komuniti dan alumni.
Dana tersebut akan menjadi sebahagian daripada usaha universiti memperkukuh sumber pembiayaan mampan bagi menyokong bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat, kebajikan mahasiswa serta penyediaan kemudahan universiti.