Kuching City FC menjelaskan penggunaan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebagai venue alternatif bagi aksi AFC Champions League Two (ACL2) 2026/27 bukan bermaksud kelab itu akan meninggalkan Sarawak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, Stadium Larkin dinamakan sebagai pilihan alternatif bagi memastikan penyertaan kelab di pentas Asia tidak terjejas sekiranya Stadium Taha Ariffin masih belum memperoleh kelulusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada tarikh yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf Stadium Taha Ariffin kini sedang dijalankan bagi memenuhi keperluan serta piawaian yang ditetapkan AFC.

“Kami yakin segala usaha sedang digerakkan untuk memastikan stadium tersebut bersedia dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan rasmi kelab.

Kuching City turut menegaskan keputusan menyediakan Larkin sebagai venue alternatif bukan bermaksud mereka akan beroperasi di Johor sepanjang kempen ACL2.

Sebaliknya, langkah berkenaan dilihat sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sebarang perubahan terhadap jadual atau tempoh kerja-kerja penambahbaikan Stadium Taha Ariffin.

Kuching City memahami keinginan penyokong, pemain, barisan kejurulatihan serta seluruh warga Sarawak untuk menyaksikan detik bersejarah kelab itu di pentas Asia di bumi sendiri.

Kelab berkenaan turut menegaskan hasrat utamanya adalah untuk menjadikan Stadium Taha Ariffin sebagai gelanggang ‘home’ bagi setiap perlawanan ACL2, sekali gus membolehkan penyokong Sarawak menikmati pengalaman beraksi di pentas Asia bersama pasukan kesayangan mereka.

“Sebagai sebuah kelab yang membawa nama Kuching dan Sarawak ke pentas Asia, kami mahu pengalaman bersejarah ini dikongsi bersama penyokong di rumah kita sendiri.

“Hasrat utama kelab adalah untuk beraksi di Kuching di hadapan penyokong sendiri bagi semua perlawanan ‘home’,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Kuching City mengakui pihaknya mempunyai tanggungjawab untuk membuat persediaan terhadap semua kemungkinan bagi memastikan penyertaan dalam ACL2 tidak terjejas.

Buat masa ini, fokus kelab adalah terhadap proses menaik taraf Stadium Taha Ariffin sebelum menunggu pemeriksaan serta keputusan AFC selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai.

Kuching City dijadualkan beraksi di laman sendiri pada 15 Oktober 2026 dan kelab itu yakin Stadium Taha Ariffin mampu disiapkan untuk digunakan sepanjang kempen ACL2 2026/27.

Kelab itu turut meminta penyokong supaya terus tenang serta memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang proses berkenaan, sambil berusaha memastikan semua perlawanan ‘home’ dapat berlangsung di Stadium Taha Ariffin.