Kredit Gambar: FIH
Walaupun keputusan tidak memihak The Speedy Tigers, tetapi pujian tinggi harus diberikan kerana berjaya menghadirkan tentangan yang begitu sengit kepada pasukan No.1 dunia, Belgium.
Speedy Tigers terpaksa akur tidak berjaya mencipta kejutan penuh sensasi untuk mara ke suku akhir selepas tewas bermaruah 3-5 kepada Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Arena Hoki Belfius awal pagi tadi.
Ketua Jurulatih The Speedy Tigers, Brendon Carolan tetap berbangga dengan persembahan cukup positif ditampilkan dalam misi melonjakkan ranking dunia Speedy Tigers di pusingan klasifikasi Kumpulan H nanti.
“Ia satu persembahan yang baik hari ini. Sudah tentu kami mahukan keputusan memihak kami kerana kami sentiasa mahukan kemenangan.
“Kami perlu kenal pasti siapa lawan dalam pusingan ‘crossover’ (klasifikasi Kumpulan H) dan kami perlu bersedia sepenuhnya. Seperti anda tahu, kami mahu meningkatkan kedudukan ranking dunia kami,” katanya.
Dalam masa sama, Brendon turut memuji kerja keras barisan pemainnya yang kini dalan fasa transisi untuk menyesuaikan diri dengan sistem pertahanan baharu.
“Para pemain telah bekerja keras untuk sistem pertahanan yang baru, jadi sekarang ia hanyalah tentang memperkemas perincian-perincian kecil yang menjadi perbezaan di tahap ini,” jelasnya.
Malaysia yang kini di ranking ke-13 dunia, meraih tiga gol hasil dua pukulan sudut penalti Nik Aiman Nik Rozemi (m-31) dan Marhan Jalil (m-37) serta satu jaringan padang Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-52.
Speedy Tigers berpeluang untuk menambah gol keempat, namun penalti stroke diambil Azrai Aizad Abu Kamal tersasar keluar.
Lima gol Belgium yang muncul naib juara Piala Dunia 2023, pula hadir menerusi empat jaringan Tom Boon pada minit ke-16, m-19, m-35 dan m-53 serta satu daripada Thibeau Stockbroekx (m-43).