HARAPAN skuad hoki lelaki negara untuk menamatkan aksi kedua kumpulan B dengan kemenangan lebur selepas tewas 3-4 kepada New Zealand dalam perlawanan mendebarkan di Piala Negara-Negara 2025, sebentar tadi.
Malaysia bermula garang apabila Akhimullah Anuar Esook menyumbat gol padang pada minit ke-18, hasil gerakan pantas dari sebelah kiri.
Biarpun suku kedua tidak menghasilkan gol, suku ketiga cukup kritikal.
Speedy Tigers meledak dua gol menerusi jaringan penalti stroke Fitri Saari dan gol padang Azrai Aizad Abu Kamal pada minit 38 dan 39, meletakkan skuad negara selesa mendahului 3-0.

Namun kelebihan itu dipadam pemain Black Sticks, menerusi jaringan Finn Ward pada minit ke-44 sebelum Simon Yorston dan Sean Findlay menambah dua lagi jaringan berturut-turut hasil pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-45 dan 46.
Speedy Tigers tambah jinak, dan kealpaan benteng negara dihukum sekali lagi apabila Finn Ward muncul wira New Zealand menerusi gol keempat pasukannya pada minit ke-52.
Kekalahan itu menyukarkan laluan Speedy Tigers untuk melangkah ke peringkat seterusnya, sekali gus memberi tekanan buat ketua jurulatih, Sarjit Singh untuk mencari formula kebangkitan.
Malaysia bakal melengkapkan aksi kumpulan dengan perlawanan terakhir menentang Jepun dengan misi buru kemenangan besar, sambil mengharapkan Pakistan menjadi belasahan New Zealand pada perlawanan terakhir kumpulan, Rabu ini.