Astro meneruskan peranannya sebagai penyiar rasmi Liga Malaysia bagi dua musim akan datang, sekali gus memastikan peminat bola sepak tempatan terus menikmati liputan menyeluruh sepanjang kempen 2026/2027 dan musim berikutnya. 

Kesinambungan kerjasama itu menyaksikan peminat boleh mengikuti secara langsung aksi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup menerusi siaran definisi tinggi (HD).

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, kesinambungan tersebut mencerminkan keyakinan pihaknya terhadap perkembangan bola sepak tempatan yang semakin mendapat perhatian penyokong.

Beliau berkata, peningkatan minat peminat dapat dilihat menerusi platform penstriman Sooka yang merekodkan pertumbuhan 52 peratus dalam jumlah minit tontonan, manakala kandungan Liga Malaysia di platform digital dan media sosial Astro mengumpul lebih 575 juta tontonan sepanjang tiga musim lalu. 

Sementara itu, Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan menyambut baik kesinambungan kerjasama berkenaan sambil menyifatkannya sebagai bukti keyakinan terhadap potensi dan masa depan saingan bola sepak domestik.

Menurutnya, kerjasama itu turut membantu memastikan Liga Malaysia mendapat liputan lebih meluas, selain mengukuhkan nilai komersial pertandingan serta ekosistem bola sepak negara. 

Menariknya, musim baharu turut menyaksikan perubahan pada barisan pundit Astro dengan bekas pemain dan jurulatih, Nidzam Jamil serta Yusri Che Lah, menyertai pasukan analisis buat kali pertama. Mereka akan bergandingan dengan barisan pakar sedia ada termasuk Zaquan Adha, Razman Roslan, Farizal Marlias, Nizaruddin Yusof dan Datuk Zainal Abidin Hassan. 

Selain wajah baharu, format studio juga diperbaharui bagi memberi ruang lebih besar kepada barisan pakar dalam mengendalikan rancangan serta perbincangan berkaitan perkembangan Liga Malaysia. Keesh ‘Mat Stats’ dan Faiz Gurun akan mengendalikan liputan Liga Super, manakala Bang Med mengetuai liputan Piala FA dan Piala Malaysia. 

Dalam usaha mengembangkan minat generasi muda terhadap bola sepak, Astro turut meneruskan inisiatif #IniPadangKita yang kini diperluaskan ke sekolah-sekolah terpilih. Program itu memberi peluang kepada golongan muda berinteraksi dengan pemain selain menyemarakkan minat terhadap sukan berkenaan. 

Kesemua aksi Liga Malaysia boleh diikuti secara langsung menerusi Arena Bola (Saluran 803 dan 804), Astro GO, NJOI serta Sooka, manakala perkembangan terkini turut tersedia menerusi Stadium Astro dan media sosial rasmi Astro Arena.