Malaysian Football League (MFL) meluluskan penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia musim 2026/2027.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain, membabitkan sehingga 23 pemain tempatan dan 15 pemain asing.

Bagaimanapun, kuota pemain asing kekal pada 15 pemain seperti ketetapan sebelum ini. Sebelum ini, setiap kelab hanya dibenarkan mendaftarkan 18 pemain tempatan dan 15 pemain asing.

Penambahan lima kuota baharu itu dibuat khusus untuk pemain tempatan dan masih tertakluk kepada pematuhan syarat Financial Fair Play (FFP) yang ditetapkan MFL.

Keputusan berkenaan dibuat susulan permohonan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC, yang bakal berdepan jadual padat membabitkan saingan AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL2), AFF Shopee Cup serta pertandingan domestik.

MFL turut mengambil kira kedudukan Kuching City yang tidak mempunyai pasukan simpanan dan bergantung kepada pasukan Piala Presiden serta Piala Belia untuk membekalkan pemain bagi saingan Liga Malaysia dan kejohanan antarabangsa.

Pada masa sama, penambahan kuota itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak, termasuk pemain daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang sudah melepasi had umur untuk terus didaftarkan bersama pasukan utama.

Bagi JDT dan Kuching City, kelonggaran tersebut juga memberi ruang kepada kedua-dua wakil Malaysia itu membentuk skuad lebih kompetitif ketika mengharungi saingan kelab AFC, sekali gus membantu usaha meningkatkan mata ranking negara serta mengejar kejayaan di pentas Asia Tenggara.

Walaupun had maksimum dinaikkan kepada 38 pemain, kelab tidak diwajibkan memenuhi jumlah berkenaan. Pendaftaran tetap bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing serta pematuhan FFP, termasuk pelaksanaan Salary Cap sebanyak 80 peratus bagi musim 2026/2027. Jumlah minimum pendaftaran pemain pula kekal 20 orang, manakala jendela pendaftaran pertama akan ditutup pada 3 September 2026.