Kredit Gambar: ASEAN United FC

Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik bersedia menyertai anak buahnya menari di atas padang sekiranya The Golden Star Warriors berjaya mempertahankan kejuaraan ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan menewaskan Thailand dalam aksi final kedua di Stadium Nasional Mỹ Đình, Hanoi, malam ini.

Vietnam membawa bekalan selesa selepas mencatat kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Bangkok, Sabtu lalu. Mereka kini hanya selangkah untuk mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam tempoh 30 tahun kejohanan tersebut.

Kim berkata beliau tidak keberatan untuk memenuhi permintaan pemain dan penyokong sekiranya Vietnam berjaya mengangkat trofi. Malah, beliau berharap penyerang Nguyễn Đình Bắc dapat menjaringkan gol sebelum meraikannya bersama menerusi tarian.

“Saya benar-benar berharap Nguyễn Đình Bắc menjaringkan gol. Jika dia menjaringkan gol, mungkin dia dan saya boleh meraikannya dengan menari bersama,” katanya.

Kim bukan asing dengan aksi tarian selepas pernah mencuri perhatian menerusi sambutan tarian di atas padang selepas membantu Jeonbuk Hyundai Motors FC menjuarai Liga K Korea 1 pada 2022.

Namun, pengendali kelahiran Korea Selatan itu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan kelebihan dua gol kerana keputusan akhir masih belum ditentukan.

“Kami mempunyai kelebihan tetapi sehingga kini kami belum memperoleh apa-apa. Saya akan meminta pemain memberikan segala-galanya supaya kami mendapat keputusan yang diinginkan,” katanya.

Jika berjaya mengekalkan kejuaraan, Vietnam akan mencipta sejarah sebagai pasukan pertama yang mempertahankan trofi selepas memenangi edisi 2008, 2018 dan 2024. Kim pula berpeluang menjadi jurulatih kelima selepas Raddy Avramovic, Peter Withe, Kiatisuk Senamuang dan Mano Pölking untuk memenangi kejuaraan berturut-turut.

Aksi final di Hanoi dijangka berlangsung dalam suasana penuh meriah selepas tiket mendapat permintaan tinggi. Penyerang Vietnam, Nguyễn Đình Bắc yang kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan rakan sepasukan Nguyễn Xuân Son menerusi lima gol, turut mengakui sokongan penyokong menjadi pembakar semangat pasukan.

Bagaimanapun, Đình Bắc menegaskan fokusnya bukan untuk mengejar pencapaian peribadi, sebaliknya membantu Vietnam memastikan kemenangan keseluruhan ke atas Thailand.

“Jika pasukan menang, itu adalah kemenangan terbesar. Kami akan cuba membawa kemenangan untuk para penyokong,” katanya.

Vietnam kini hanya memerlukan satu lagi persembahan mantap di hadapan penyokong sendiri untuk menjulang trofi ASEAN Hyundai Cup™ buat kali kedua berturut-turut, manakala Thailand perlu menghasilkan kebangkitan besar selepas ketinggalan dua gol daripada aksi pertama.