GELANGGANG taekwondo bukan sekadar tempat menguji kekuatan dan kemahiran seni bela diri apabila lebih 500 peserta dari beberapa negeri dihimpunkan dalam Kejohanan Kesenian dan Kebudayaan Seni Bela Diri Taekwondo (Antara Sekolah-Sekolah) – Speed Kick & Punch di Dewan Terbuka SJKT Simpang Lima, di Klang, semalam.

Kejohanan anjuran Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar menguji kepantasan, ketepatan, koordinasi dan kawalan diri, malah menjadi medan menyemai disiplin, keyakinan serta semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Pengasas Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia, Dr Master Edwin berkata penganjuran itu dicetuskan bagi memperluas perkembangan taekwondo di peringkat akar umbi, selain membentuk generasi muda yang mempunyai keberanian dan jati diri.

“Kita mahu anak-anak bukan sahaja kuat dari segi fizikal, tetapi juga mental, disiplin dan jati diri. Gelanggang Taekwondo adalah tempat untuk mereka belajar menghormati orang lain, berani mencuba serta menerima kemenangan dan kekalahan dengan matang,” katanya.

Menurutnya, penyertaan pelajar daripada pelbagai sekolah turut membuka ruang kepada guru, ibu bapa dan komuniti untuk bersama-sama menyokong perkembangan bakat muda dalam suasana penuh semangat kesukanan.

Lebih istimewa, kejohanan yang berlangsung dalam suasana sambutan Bulan Kebangsaan itu turut diselitkan dengan nyanyian lagu patriotik, laungan Merdeka serta kibaran Jalur Gemilang oleh peserta, guru dan ibu bapa.

Dr.Master Edwin berkata suasana berkenaan membuktikan taekwondo mampu menjadi platform yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Apabila 500 peserta dari beberapa negeri bersama ibu bapa dan guru berdiri menyanyikan lagu patriotik, mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan Merdeka, kita dapat melihat Taekwondo mampu menjadi wadah perpaduan yang kuat.

“Ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan, sikap saling menghormati dan kesediaan rakyat untuk bergerak bersama,” katanya.

Beliau berkata, ukuran kejayaan peserta tidak seharusnya hanya berdasarkan kemenangan di gelanggang, sebaliknya perubahan sikap dan pembentukan karakter yang mereka peroleh menerusi latihan serta pertandingan.

“Kemenangan paling besar ialah apabila seorang anak menjadi lebih berdisiplin, yakin, berani dan menghormati orang lain selepas melalui proses latihan dan pertandingan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr.Master Edwin berharap kejohanan berkenaan dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa depan dengan membabitkan lebih banyak sekolah, persatuan, agensi kerajaan serta komuniti.

Penganjuran itu turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada YB Dr Gunaraj George, ADUN Sentosa, Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, Ahli-Ahli Majlis MBDK dan MBSA, MBI serta KDEB Waste Management, yang antara lain membantu menjayakan program berkenaan.

Beliau menegaskan taekwondo bukan hanya mengenai kekuatan fizikal, sebaliknya menjadi medium penting dalam membentuk disiplin, karakter, keyakinan diri dan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.