Kredit Gambar: ASEAN United FC
Ketua jurulatih Thailand, Anthony Hudson mahu anak buahnya tampil tanpa rasa gentar ketika berdepan Vietnam dalam aksi timbal balik final ASEAN Hyundai Cup 2026 di Stadium Nasional Mỹ Đình, Hanoi, malam ini.
Thailand berdepan tugas getir selepas tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok, Sabtu lalu. Dua gol pada babak kedua menerusi Nguyễn Hai Long dan Nguyễn Quang Hải memberikan Vietnam kelebihan menjelang pertemuan penentuan.
Namun, Hudson percaya tekanan lebih berat kini berada di bahu Vietnam yang perlu mempertahankan kelebihan di laman sendiri bagi memburu kejuaraan berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.
“Salah satu kekuatan mereka (pemain) ialah membawa kualiti, tenaga dan keberanian. Jadi untuk esok, kami mahukan keberanian itu daripada pemain.
“Tekanan sebenarnya berada pada Vietnam. Mereka mendahului 2-0, bermain di tempat sendiri dan tekanan untuk mendapatkan keputusan serta kemenangan adalah kepada pasukan tuan rumah,” katanya.
Hudson turut mahu pemain muda Thailand menunjukkan keperibadian dan kualiti mereka tanpa dibelenggu tekanan, sambil menyifatkan perlawanan final sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan selepas kekalahan pada aksi pertama.
Pertemuan kali ini turut menjadi final ketiga berturut-turut antara kedua-dua negara. Thailand muncul juara pada 2022 sebelum Vietnam membalas dua tahun kemudian untuk meraih kejuaraan ketiga mereka.
Mengulas aksi pertama, Hudson berpendapat Thailand sebenarnya mempamerkan persembahan yang baik dan layak memperoleh keputusan lebih positif berdasarkan penguasaan mereka, khususnya sepanjang sejam pertama permainan.
Penjaga gol Vietnam kelahiran Slovakia, Patrik Lê Giang, menjadi antara faktor utama yang menggagalkan usaha Thailand apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting sebelum dianugerahkan Hyundai Player of the Match.
Hudson mengakui kekalahan itu memberi kesan emosi kepada skuadnya, namun beliau mahu pemain mengambil sisi positif daripada persembahan tersebut dan percaya peluang Thailand untuk bangkit masih terbuka.
“Perlawanan ini belum berakhir, langsung belum. Saya mahu mereka percaya dengan persembahan yang mereka tunjukkan dan percaya bahawa keputusan itu masih boleh diubah,” katanya.
Menurut Hudson, sasaran Thailand menjelang aksi kedua tidak memerlukan sebarang penjelasan rumit — mereka perlu memenangi final. “Sasarannya sangat mudah. Ini final, separuh masa dalam final dan sasaran kami sangat jelas; kami mahu memenangi final. Itu sahaja,” katanya.