YAYASAN PAHANG MAINTENANCE FOOTBALL CLUB (YPM FC) muncul juara sulung Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah selepas menewaskan Majlis Daerah Raub FC 2-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Perlawanan akhir itu turut disaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang yang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penutupan dan Perlawanan Akhir Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mencemar duli menyaksikan aksi final Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Sebelum sepak mula, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyaksikan sembah kenal pemain daripada kedua-dua pasukan yang bertanding. Aksi final berlangsung sengit apabila YPM FC dan Majlis Daerah Raub FC saling memberikan saingan dalam usaha memburu kejuaraan sulung kejohanan berkenaan.
Namun, YPM FC akhirnya berjaya memastikan trofi menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Majlis Daerah Raub FC dalam perlawanan yang berlangsung dalam suasana meriah di Stadium Darul Makmur.

YPM FC mencetak dua gol menerusi Wan Muhammad Akmal Hakim Wahab dan Nasyrullah Mohd Zaki, manakala Zaiful Zakwan Arnain meledak gol tunggal MDR FC.
Selain aksi final, majlis penutupan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan , selain cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa kereta, motosikal dan telefon pintar.
Penganjuran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa pembangunan bola sepak negeri selain membuka ruang kepada bakat tempatan untuk diketengahkan.
Kredit Gambar : Kesultanan Pahang