Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu memberikan perhatian khusus kepada Guilherme Bissoli apabila turun menentang Buriram United dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) 2026-27 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, melihat penyerang kelahiran Sao Paulo, Brazil itu sebagai antara pemain Buriram yang mampu mencetuskan masalah sekiranya diberikan ruang di kawasan berbahaya.

Kebimbangan Munoz bukan tanpa sebab apabila Bissoli sebelum ini pernah menghukum JDT dengan dua gol ketika Buriram menyingkirkan Harimau Selatan pada aksi separuh akhir Piala Shopee musim lalu.

Selain Bissoli, Buriram turut memiliki beberapa pemain berkualiti seperti Robert Žulj serta penjaga gol berpengalaman, Neil Etheridge, namun Munoz percaya ancaman terbesar tetap datang daripada keupayaan individu pemain lawan.

Menurutnya, aspek pertarungan satu lawan satu perlu diberikan perhatian kerana pemain Buriram mempunyai kelebihan dari segi kemampuan individu.

“Esok (hari ini) adalah hari untuk pertarungan satu lawan satu. Para pemain perlu memahami bahawa mereka akan berdepan pasukan yang hebat dan lebih kuat dari segi keupayaan individu. Jadi, kita perlu bersedia menghadapinya,” katanya ketika sidang media pra-perlawanan.

Munoz turut mengulangi peringatan terhadap Bissoli yang disifatkannya sebagai pemain berbahaya dan mampu mengubah keputusan perlawanan walaupun hanya memperoleh sedikit peluang.

“Bissoli adalah jenis pemain yang mampu menyerlah jika diberikan sedikit peluang. Dia mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol, jadi kita perlu menguruskannya dengan baik dan mengawal keadaan,” katanya.

Pengendali dari Sepanyol itu pada masa sama mahu anak buahnya kekal fokus terhadap persiapan terakhir serta memastikan mereka mampu mengawal situasi sepanjang perlawanan bagi memburu keputusan positif.

Pertembungan JDT dan Buriram United dijadualkan akan berlangsung malam ini di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula pada jam 8.15 malam.